Monday, July 24, 2006

DUNIA BARU

assalamualaikum. aku bukan nak berceloteh tentang drama DUNIA BARU kat TV3 yang bagi aku entah apa-apa tu. Tapi aku nak cakap pasal dunia baru aku. Aku sekarang sudah tidak bekerja lagi. Aku sudah sambung pengajianku dalam peringkat sarjana di salah sebuah IPTA di lembah kelang.
belajar sepenuh masa, menjadi anak sepenuh masa, berjuang di jalan dakwah sepenuh masa, betul2 membuatkan aku sempit masa. hampir-hampir juga menangis apabila salah satunya tidak dapat aku sempurnakan dengan baik.
tetapi, lantas aku malu sendiri, malu yang amat sangat, apabila membaca coretan Ust Hasrizal yang jauh lebih sempit masanya daripada aku. Semoga ianya menjadi pengajaran untuk aku sendiri. Ya Allah, ampuni hambaMu yang mudah lemah. Wallahualam.
Petikan artikel Ustaz Hasrizal:

Walaupun begitu, minat serta semangat saya untuk belajar turut berdepan dengan cabaran yang besar. Cabaran yang saya maksudkan itu adalah cabaran MASA. Bekerja sepenuh masa dan belajar sepenuh masa, di samping menjadi ayah sepenuh masa, serta suami sepenuh masa, sudah cukup besar. Ditambah lagi dengan tanggungjawab dakwah, tarbiyah dan pelbagai badan yang saya sertai, semuanya menuntut komitmen yang sukar ditolak ansurkan. Dan malam ini saya mengalami kebuntuan.

Setiap pagi, saya mesti keluar dari rumah seawal 6:30 pagi. Saya berjalan kaki meredah kegelapan subuh di celah-celah lorong Taman Midah untuk ke jalan besar dan ia memakan masa sekitar 20 minit. Kadang-kadang awal sedikit apabila dikejar atau disergah anjing. Kemudian saya akan mengambil bas dari Taman Midah ke Stesyen LRT Taman Maluri. Dari situ, saya akan menaiki LRT ke Masjid Jamek dan kemudian bertukar tren untuk ke Terminal Putra. Saya mesti sampai di Stesyen Terminal Putra sebelum pukul 8 pagi, kerana bas Rapid KL 231 akan bertolak ke kampus UIA tepat jam 8. Jika terlepas, saya terpaksa mengambil teksi.

Bunyinya payah, bagi yang biasa berkereta. Tetapi selepas 11 tahun hidup di perantauan, terutamanya 6 tahun di UK dan Ireland, soal menaiki kenderaan awam ini sudah menjadi kebiasaan. Isteri saya memerlukan kereta ATOS kami untuk menghantar dan mengambil anak di nurseri. Dan saya seperti biasa, meneruskan rutin menaiki tren yang sudah menjadi sebahagian hidup saya semenjak 1998 lagi. Faedah menaiki LRT ini ada beberapa. Antaranya:
1. Saya dapat membuat bajet masa yang hampir tepat iaitu 1 jam 30 minit dari pintu rumah ke pintu kelas.
2. Saya dapat menjimatkan duit minyak dan maintainance kereta serta tol (MRR2 tiada tol - mungkin sebab itu ia retak)
3. Saya dapat membaca di sepanjang perjalanan. Berita terkini akan saya update di dalam PDA Palm Tungsten T5 saya dengan menggunakan aplikasi AVANTGO. Manakala artikel-artikel yang saya perlu baca sebagai bahan pembelajaran, saya convert kepada ISILO

Tiga faedah di atas amat saya hargai terutamanya peluang membaca. Saya berasa terkilan jika ada pelajar undergraduate yang bujang, duduk di Mahallah dan apatah lagi jika tidak aktif dengan aktiviti persatuan, membuat pengakuan tidak membaca, dengan begitu selamba tanpa ada rasa bersalah. Sedangkan saya terpaksa mencuri masa di dalam LRT, atau bangun awal pagi, dan biasanya memilih untuk tidur lewat semata-mata untuk membaca.

Dalam masa yang sama, saya dijemput untuk berceramah di pelbagai institusi dengan peserta yang berbeza, serta tajuk yang berlainan. Setiap ceramah itu memerlukan saya kepada membuat slide PowerPoint© dan ini menjadi sebahagian besar daripada kerja yang mencuri masa tidur saya.

Sudah tentu, cabaran di waktu malam yang paling menguji adalah tangisan dua anak kecil yang merengek meminta susu. Kalau adik Naurah, selalunya dia akan menangis sekitar jam 2 pagi dan Saiful Islam pula akan menangis khusus untuk marahkan saya kerana pulang lewat malam. Ia sering berlaku apabila saya memberi kuliah Maghrib, yang menyebabkan saya sampai di rumah selewat jam 10:30 malam malah mencecah tengah malam. Saiful Islam marah kerana saya pulang selepas dia tidur dan keluar sebelum dia terjaga. Maka komunikasi antara saya dengannya hanya berlaku apabila dia terjaga di tengah malam. Marah 5 minit, berbual 2 minit, sebelum menyambung tidur semula.

Paling menyedihkan, isteri yang sering ditinggalkan. Dalam keadaan berbadan dua, ditambah pula dengan bebanan pengajian Masternya di bidang Perubatan Kecemasan, dia banyak berkorban, hingga saya rasa tidak layak mengeluh. Syukurlah perkahwinan kami dibina di atas expectation yang realistik sejak hari cincin disarung ke jari. Moga dirinya terus sabar khususnya 4 tahun mendatang di mana kami berdua saling terbeban oleh pengajian masing-masing, di samping kerja sepenuh masa yang sudah sedia mencabar.

Hari ini saya sangat mengantuk dan sukar untuk menumpukan perhatian kepada kelas Rise and Fall of Civilization. Selasa dan Khamis adalah hari yang paling mencabar kerana saya perlu menghadiri tiga kelas yang bersambung-sambung dari jam 8:30 pagi hingga 1:20 tengah hari. Selepas solat Zohor saya bergegas pulang ke rumah kerana ada tugasan keluarga yang perlu diselesaikan. Akan tetapi, saya tidak dapat berdiri dan terpaksa mencari bangku untuk duduk di dalam LRT. Selepas melabuhkan diri, saya terus terlelap dan sedar-sedar saya sudah terlepas lebih 4 stesyen. Saya berpatah balik dari Stesyen Taman Paramount untuk ke Masjid Jamek, dan saya tahu, mengantuk saya sudah tidak dapat dikawal.

Selepas Asar, saya biarkan sahaja anak-anak memanjat diri saya seketika, sebelum terlelap. Isteri saya mengejutkan saya untuk bersiap kerana selepas Maghrib, saya perlu memberi Kuliah di Kolej Tun Dr Ismail, di Hospital UKM.

Malam ini saya perlu menyiapkan dua slide untuk ceramah saya di Wad Kecemasan jam 8 pagi esok, serta ceramah untuk ibu bapa pelajar sekolah di Sentul Sabtu ini. Mata berpinar-pinar dan saya tahu saya tidak boleh berangan untuk mencari masa tidur kerana esok, saya akan berceramah, dan kemudian ke pejabat di Damansara Damai dan menghadiri dua mesyuarat dari jam 3 petang hingga 11 malam. Sabtu pula ceramah di waktu siang dan Ahad program sepanjang hari di sebuah sekolah di Jenjarum. Isnin ke kelas semula.

Bila nak qadha' tidur ini?

Dulu saya pernah rasa tertekan kerana sentiasa mencari masa untuk menggantikan waktu tidur. Tetapi akhirnya saya tersedar bahawa waktu tidur saya tidak akan cukup. Dua anak meningkat dewasa, dan Insya Allah hujung tahun ini tiba cahaya mata ketiga, dan rutin bangun malam saya akan diteruskan lagi untuk dua tahun yang akan datang. Kerja-kerja pejabat dan pengajian tidak akan berkurang, di samping kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang serius.

Saya hanya berasa lega apabila mengubah mind setting bahawa janganlah dicari masa untuk mencukupkan tidur, sebaliknya tidurlah sebaik-baiknya pada masa-masa yang kita boleh tidur. Bersyukur dengan apa yang ada.

Kesimpulan saya sebelum melelapkan mata malam ini, jangan sekali-kali menjadikan SIBUK sebagai alasan kerana SIBUK itu adalah nama lain bagi sebuah kehidupan yang bermakna. Ya Allah, janganlah Kau matikan aku semasa aku duduk bergoyang kaki. Allahumma yassir wa laa tu'assir ya Kareem.
ALLAHU AKBAR!

Thursday, July 06, 2006

Islam Hadhari....?

kesan kepincangan pemerintahan Islam Hadhari...sokongan kepada maksiat makin berleluasa!!

Lanjut operasi pusat hiburan
Daripada Faiza Zainudin

HO CHI MINH: Kementerian Pelancongan mahu waktu operasi pusat hiburan termasuk kelab malam, restoran dan pub di bandar utama di Malaysia dilanjutkan hingga jam 5 pagi bagi membolehkan pelancong asing yang berkunjung menikmati aktiviti kehidupan malam dengan ceria.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata lanjutan waktu operasi itu perlu dalam menarik minat pelancong asing bercuti di negara ini kerana keadaan sedia ada tidak menarik minat mereka berkunjung meskipun pelbagai promosi tarikan dilakukan.

Beliau berkata, bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selain pusat tarikan pengunjung seperti pulau Langkawi seakan 'bandar tidak bernyawa' pada waktu malam berbanding di negara jiran terdekat seperti Singapura dan Thailand."Bandar raya seperti Kuala Lumpur sangat 'malap' pada waktu malam, tiada aktiviti hiburan, mereka (pelancong asing) tidak tahu buat apa selepas jam 12 malam, pusat membeli-belah pun tutup jam 10 malam.

"Walaupun segelintir tempat menyediakan aktiviti malam, mereka tidak tahu tempat berkenaan, oleh itu, perkara ini (waktu operasi) perlu diselaras kerana ia membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang memberi lesen dan menguatkuasa undang-undang," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pelancongan Ho Chi Minh, Nguyen Thi Lap Quoc, di sini, petang semalam.

Tengku Adnan berada di bandar raya ini dua hari, bermula kelmarin, sempena mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07).Sementara itu, Tengku Adnan berkata perkara itu perlu dilaksana segera kerana ia membantu meningkatkan pembangunan industri pelancongan negara yang menjadi salah satu sektor utama yang menyumbang pendapatan negara.
Beliau berkata, tambahan pula, kerajaan kian giat melakukan pelbagai usaha menarik pelancong sempena TMM07 tahun depan selain bagi mencapai sasaran 24 juta pelancong menjelang 2010.

"Lanjutan waktu operasi di pusat karoake, pub, kelab malam dan restoran yang menyediakan aktiviti bersih ini perlu dilaksanakan segera terutama di lokasi tarikan pelancong seperti kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Namun bagi pusat hiburan berhampiran kawasan perumahan, ia tidak dibenarkan kerana ia boleh menganggu ketenteraman awam," katanya.

Tengku Adnan, berkata pihaknya sebelum ini sudah berbincang perkara itu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique, namun sehingga kini belum sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Secara asasnya, mereka bersetuju dan masih mengkaji perkara itu. Saya harap penggubalan undang-undang mengenai perkara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.Ditanya mengenai kesan negatif cadangan itu sekiranya dilaksanakan, Tengku Adnan, berkata perkara itu boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya penguatkuasaan dapat dilakukan dengan berkesan.

"Perkara ini berkaitan dengan penguatkuasaan, kalau kurang umur, memang tidak boleh masuk ke tempat macam itu.

"Kita tidak boleh menidakkan cara hidup pelancong asing yang suka berhibur dan 'minum' dan kita kena mendidik rakyat kita, perkara mana yang baik dan tidak baik."

Selama ini, Malaysia mengamalkan toleransi dalam pelbagai hal termasuk beragama, mungkin orang tidak suka saya cakap begini, namun kita kena praktikal," katanya.Beliau juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar cukai terhadap minuman beralkohol di negara ini yang disifatkan terlalu tinggi sehingga menyebabkan pelancong asing mengeluh.

"Minuman seperti 'beer' dan 'wine' menjadi minuman harian mereka, masa makan pun mereka minum."Kadar harga di negara ini terlalu tinggi, sehingga beratus ringgit sebotol. Kalau kadar cukai minuman keras dinaikkan tidak mengapa, tetapi yang kurang keras ini perlu diteliti semula," katanya.

sumber: berita harian (6/7/06)


nefertari:

kepada barat kita bertoleransi
kononnya nak tunjukkan kemurnian Islam
sebenarnya kita masih tak sedar diri
agama kita selama ini mereka hentam!

"lakum dinukum waliyadeen"
bagi mereka (barat) agama mereka, dan bagi kita (Islam) agama kita.

Drama yang tidak mendidik

assalamualaikum. minggu lepas sempat menonton 2 drama melayu.

1) hari: jumaat (30 jun)
masa: malam (TV2)
tajuk: igauan (rasanya)

ulasan:
aku tak berapa ikut betul-betul sangat. tapi yang aku faham dari kisah ni, ianya mengisahkan seorang isteri yang solehah (lakonan aida aris) yang berkahwin dengan seorang pesakit jiwa (lakonan pelakon iklan panadol double active fast, aku tak tau nama dia apa). si suami menjadi seorang pesakit jiwa akibat didikan keterlaluan oleh ayahnya yang selalu marah-marah dan mengherdik serta mendera emosi kanak2nya sejak kecil hinggalah dewasa. si suami adakalanya sihat dan adakalanya sakit. apabila dia sihat, dia tidak akan mengingati sebarang perlakuannya yang ganas semasa 'sakit' nya melanda. yang menjadi mangsa keadaan itu sudah tentulah isterinya. isterinya menjadi mangsa keganasan si suami tatkala sakit suaminya datang. habis teruk badan2 isteri tu dikerjakan, sehingga boleh membunuh. darah yang mengalir di sisi bibir akibat ditampar, mata yang lebam akibat ditumbuk dan badan yang lemah akibat disepak terajang dek suaminya. akhir sekali, lelaki itu ditangkap polis ketika dia cuba membunuh isterinya.

2) hari: sabtu (1 Julai)
masa: malam gak (cerekarama TV3)
tajuk: sesudah kau lafazkan (rasanya jugak la)

ulasan: ni pun sama juga, mengisahkan umi aida yang terpaksa mengorbankan cintanya pada seorang doktor kerana memenuhi permintaan ibunya yang menyuruhnya agar berkahwin dengan esma daniel, yang dalam cerita tersebut merupakan seorang akauntan yang menguruskan syarikat keluarga umi aida. dipendekkan cerita, mereka berkahwin setelah ibu umi aida meninggal dunia. esma daniel rupanya hanya ingin membalas dendam terhadap sesuatu perkara yang aku pun tak tahu, terlepas agaknya. namun, dia melampiaskan dendam kesumatnya dengan mendera umi aida seteruk-teruknya sehingga akhirnya umi aida menjadi gila dan dihantar ke hospital sakit jiwa, yang kebetulan merupakan tempat doktor (bekas kekasihnya) bertugas. akhir episod, esma daniel ditangkap polis kerana cuba menggelapkan wang syarikat dan melakukan penderaan ke atas umi aida.

ok, itu la ulasannya. maka apa sebenarnya yang aku nak cakapkan ni? apa yang aku nak cakap ialah kenapa begitu banyak cerita yang stereotaip sebegini disajikan sebagai bahan tontonan? kalau setakat nak menunjukkan kes keganasan rumahtangga, berlambak berita di suratkhabar dan majalah yang telah dimuatkan.

dah tiada idea lain yang lebih bernas ke? aku tak suka betul wanita dipaparkan dalam bentuk begitu, yang begitu merelakan dirinya menjadi mangsa keganasan suami. pukul lah walau teruk bagaimana sekalipun, si isteri hanya akan berdiam diri dan merelakan tubuh mereka disiat2 hingga berdarah. akhirnya..gila terus!
so apa mesejnya?? takat nak memberitahu penonton ciri-ciri keganasan rumahtangga dan kesan-kesannya? ramai yang dah tau, hatta aku pun dah boleh agak apa kesudahan cerita ni.!!

wahai mereka yang berada di bidang penyiaran! bukan cerita sebegini yang aku nak tengok! aku mengharapkan cerita-cerita yang dapat mendidik masyarakat untuk bertindak. sebagai contoh, kenapa tak hasilkan drama yang masih lagi memaparkan kes-kes keganasan rumahtangga, cuma olah sedikit dengan menunjukkan si isteri itu menjadi bijak dan berani melawan! bukan melawan dengan menghentam dan menyepak suaminya, tapi tunjukkan bagaimana wanita itu mengambil langkah proaktif dengan mengetahui dan memperjuangkan hak2nya sebagai seorang isteri melalui undang2!

kita ada mahkamah syariah yang mengelola hal ehwal kekeluargaan Islam. setiap pasangan mempunyai haknya masing2. aku membayangkan alangkah bagus kalau perempuan itu mengadu dan membawa kesnya melalui saluran perundangan dan tunjukkan apa hak2nya yang boleh dituntut. jangan lah jadi perempuan bodoh dengan merelakan sahaja diri tu dirosakkan!

zaman dulu bolehlah! dulu wanita kurang didedahkan dengan ilmu-ilmu perundangan kekeluargaan Islam. sekarang ni ramai yang bijak pandai, ramai yang berjaya, ramai yang bergraduat dan ramai yang pegang jawatan tinggi. buat drama biarlah berpijak di bumi yang nyata.

kenapa aku kata ramai yang pandai? sekarang kita sudah ada golongan feminis yang hangat memperjuangkan hak kesamarataan di antara lelaki dan perempuan. aku sebut terang2, SIS yang diketuai oleh sister zainah anwar pernah menyuarakan pandangannya yang mempersoalkan kenapa hak talak hanya pada suami? rasa-rasanya kenapa dia mengeluarkan kenyataan selancang itu? kerana drama-drama sebegini lah! drama-drama yang langsung tidak mendidik para wanita!

sister zainah yang pernah berkata berasa beruntung kerana tidak berkahwin, mungkin mempunyai pandangan yang salah mengenai institusi kekeluargaan. dia hanya dimomokkan tentang betapa wanita hanya akan menderita jika berkahwin, dan sama sekali tidak dapat melepaskan diri daripada kecaman suami yang jahat.
sedangkan dalam Islam terdapat beberapa saluran yang boleh isteri itu ambil untuk melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, tanpa si suami melafazkan talak terlebih dahulu, untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar. Begitu juga dengan tuntutan nafkah yang boleh dia tuntut selepas berlakunya perceraian. Islam sendiri mengharamkan penganutnya menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dan menzalimi diri sendiri.

tengok anak muda zaman ini, mereka lebih suka hidup berfoya-foya, dan melakukan seks bebas kerana tidak mahu terikat dalam bentuk keluarga, kerana pelbagai alasan! mereka mengatakan keluarga hanya akan membataskan aktiviti mereka, anak-anak hanya akan menyusahkan, karenah isteri atau suami yang meletihkan, bosan dengan pasangan dan sebagainya. semuanya kerana apa? sekali lagi, kerana drama-drama yang sebegini lah! sedangkan hakikat pembinaan keluarga itu merupakan sesuatu yang suci, dan para syaitan akan menangis di saat berlakuya ijab dan kabul. melalui perkahwinan juga peribadi mulia dapat dibentuk, kerana nafsu dapat dilepaskan secara halal. tiada lagi masalah keruntuhan dan kebejatan akhlak dapat dilaporkan.

aku mengharapkan drama-drama yang boleh menaikkan dan memperbetulkan tanggapan umum mengenai institusi kekeluargaan. dalam masa yang sama, mendidik masayarakat dengan memberi pendedahan tentang undang2 kekeluargaan islam yang telah Allah gariskan, dalam bentuk penyampaian yang paling mudah- hanya menonton! mesej dakwah juga dapat disampaikan. barulah para wanita Islam khasnya dan wanita lain umumnya dapat mengetahui apa hak-hak mereka dalam Islam dan seterusnya dapat mengelak daripada dintindas oleh lelaki dayus! dan yang paling penting ------> no more SIS, no more zainah anwar!!!!

huh!