Monday, October 30, 2006

Kenangan raya

assalamualaikum. lama sungguh rasanya aku tak update blog ni. Hmm, masa terlalu mencemburui aku, cewah, iyelah tu.

aku teringin mencoretkan sesuatu..kenanganku...

Malam raya..
waktu bertakbir selepas Isyak bersama imam di masjid, hati rasa sayu sangat. Mengenangkan Ramadhan yang telah pergi, mengenangkan lompang-lompang ibadat yang tak terisi, mengenangkan adakah diberi keizinan olehNya untuk mendapat walau secebis daripada janjiNya di malam Lailatulqadar, mengenangkan bolehkah Ramadhan akan datang dipertemukan kembali...melihat pula pada barisan saf jemaah yang sangat sikit, yelah, mungkin ramai yang dah balik ke kampung masing-masing, menambahkan lagi rasa pilu, rindu akan kemeriahan berpesta ibadah di masjid-masjid di malam hari..

Telah ditakdirkan, masa akan tetap berlalu pergi. Masa yang umpama pedang akan tetap tajam memotong.

Raya kali ini sama sahaja dengan yang lepas-lepas. Cuma mungkin ada beberapa insiden yang sukar dilupakan...

Raya pertama: Hampir kemalangan....
pagi tu dapat bersama keluarga menunaikan solat sunat hari raya. Dapat bermaaf-maafan sesama ibu bapa dan adik beradik. Kemudian, dapat membawa keluarga pulang ke Melaka menziarahi sanak saudara. Bertemu kembali dengan sepupu sepapat yang dah besar panjang dan hampir tak dikenali. Kalau berselisih tepi jalan pun belum tentu dapat cam...MasyaAllah..

dalam perjalanan pulang, diuji dengan ribut petir dan hujan lebat. Kami hampir-hampir kemalangan apabila tiba-tiba, dalam jarak hanya beberapa meter sahaja daripada kereta kami, sebatang pokok yang besar tumbang akibat dipanah petir. Allahu Akbar, mengucap panjang kami. Bunyi dentuman petir itu sahaja sudah cukup membuatkan saya sebagai pemandu pucat lesi sekejap. Alhamdulillah, sempat brek. Lantas kami berteduh sebentar di Masjid berdekatan, untuk mengembalikan semangat yang hampir hilang...Subhanallah..

Alhamdulillah, kami selamat sampai ke rumah lewat Isyak malam tu, walaupun di sepanjang perjalanan, hujan tetap turun tidak berhenti-henti..

Raya ketiga: Adik 'hilang'?
hhmm, ni lagi satu kes. Adik saya keluar untuk berhari raya dengan sahabat2 dia. Katanya nak ke Seremban, dan petang akan pulang semula ke rumah. Waktu ni kami sekeluarga sibuk melayani segerombolan saudara-mara belah ayah yang datang dengan 6 buah kenderaan, sampai tak menang tangan juga dibuatnya. Pemergian adik hanya disertai dengan sekilas pandang sahaja. Sempat juga pesan pada dia, kalau ada apa-apa, hubungi kami.

lewat petang tu, adik sempat call saya..dan ayat yang kedengaran di hujung talian hanya..."akak..tolong bagitau abah yang adik tak dapat balik..sebab..." pup, putus! Ahh...sudah, kenapa pula ni. Lepas tu terus gagal untuk hubungi dia balik. Berkali-kali cuba tetap gagal. Dia tak dapat dihubungi!

Malam tu kami tak senang duduk dibuatnya, risau ke mana agaknya adik saya ni..Macam-macam bayangan keluar dalam kotak fikiran kami. Keluarga mana yang tak risau. Alangkan yang lelaki pun risau, ini anak perempuan, tentulah terlebih-lebih risau. Tergerak hati nak memandu ke Seremban, mencari dia, tapi nak cari kat mana? Hujan pula tu. Abah dan mak dah mula termenung..abang dah mula diam..dan saya..tak lepas daripada duduk di tepi telefon. Mengharapkan yang adik akan call semula..tapi hampa.

Lewat tengah malam, lagi bayangan yang bukan-bukan keluar. Kami hanya mampu berdoa agar adik dilindungi. Nak hubungi kawan-kawannya, saya tak simpan nombor. Adik masih gagal dihubungi. Terfikir juga untuk buat laporan polis, kes kehilangan, tapi adik 'hilang' tak cukup 24 jam lagi..

Malam itu terus berlalu dalam keadaan penuh kerisauan..

Raya keempat: Penantian itu satu penyeksaan.
Bangun pagi, adik tetap dan masih gagal dihubungi. Ya Allah, risaunya hati. Tak mengapa, cuba tunggu lagi sampai tengah hari. Pun masih tiada khabar berita. Bincang dengan keluarga, ini tak boleh jadi, kena report polis. Tengah bersiap-siap nak ke balai polis, tiba-tiba handset saya berbunyi...terpapar nombor yang tak dikenali. Saya angkat dengan hati yang berdebar-debar..ternyata itu adik saya! dia guna telefon awam. dia bagitau yang dia ada di Bahau, dan dalam perjalanan pulang..belum sempat saya bertanya apa-apa, dia kata "akak, syiling tak cukup..nanti..." pup, putus lagi! Arrghh...tensionnya!

Kami batalkan niat nak report polis. Tunggu di rumah bagai orang tak tentu arah kami dibuatnya. Dalam hati kata "siap kau balik nanti..kata nak ke Seremban, rupanya ke Bahau ye!"

Alhamdulillah adik sampai rumah lewat petang tu. Terkulat-kulat muka dia nak menjawab soalan yang kami ajukan bertubi-tubi pada dia. Kesian pula tengok. Rupa-rupanya memang adik ke Seremban, tetapi selepas itu, kawannya di Bahau ajak datang rumah beraya, dan adik ni pun ikutlah kawannya tu pergi beraya ke Bahau, di sebuah kawasan kelapa sawit Felda.. Dalam perjalanan, hujan dah mula turun. Makin lama, makin lebat. Disebabkan hujan lebat tu, kawasan di sekitar ladang kelapa sawit tu dinaiki air, menyebabkan adik terkandas di rumah kawannya dan tidak boleh keluar. Telefon bimbitnya kehabisan bateri, kawannya pula tiada kredit, dan rumah kampung yang adik kunjungi tu pula tidak mempunyai telefon. Itu yang terputus hubungan sekejap.

MasyaAllah..macam-macam hal berlaku. Paling tidak tahan, melihatkan kerisauan yang jelas terpampang di wajah tua mak dan abah. Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat. Teruk juga adik kena 'basuh'. Padanlah muka dia, siapa suruh tukar-tukar plan..

Kepada semua, Salam Aidilfitri kuucapkan. Maaf Zahir BAtin.