Sunday, January 20, 2008

Bahagia itu pada.....






Tajdid Iman

Bersama Dr Juanda Jaya

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada
sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia?

Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat atau duduk bercengkerama dengan
isteri dan anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan,
memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu – sakit di hati yang
susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda." Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabda
Baginda bermaksud: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, itu juga kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah (SWT) pilihkan untuk
kita adalah baik. Apabila sakit ubatnya adalah senyum dan reda.

Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang
percaya bahawa bukankah selama ini Allah (SWT) memberi lebih banyak
daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau
bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah
Allah (SWT) meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tetapi,
pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi
mana dia berada di dunia, pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang
popular, kaya, cantik, sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak
akan pernah terpenuhi dengan sempurna.

Selamilah dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang
demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama
hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka.

Sesungguhnya apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana
Allah (SWT) lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang
memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci daripada cacat cela
atas segala pentadbiran- Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ..tidak terima' dengan apa yang
terjadi pada diri. Tetapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras,
hanya ..terkejut' dipuncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas
ketentuan-Nya. Firman Allah: "Allah (SWT) pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya. " (Surah Al-Bayyinah, ayat 8.)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah (SWT) itu. Pertama,
ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa yang datang kepada kita semuanya
adalah hadiah pemberian Allah (SWT). Ujian itu sebenarnya hadiah yang
paling mahal, tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat
paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang di antara Allah (SWT) dan
hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan
oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang
garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita
terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi, mengapa pula kita merajuk jika Allah (SWT) menguji kesetiaan
cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari-hari ketika
sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah,
di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit
itu telah menutup kurniaan Allah (SWT) yang banyak pada rezekinya
selama ini.

Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda. Hidup tidak tenang,
dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan
duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan
bahagia. Tetapi, bukan bahagia yang ..diam' dalam hati, ia cuma
menempel sebentar pada dinding hati kemudian lenyap begitu cepat.

Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh
kekasih Allah (SWT), Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup
senang formulanya, tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang
bijak mengawal perasaan lagi beriman.

(sumber: emel)

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home