Monday, June 26, 2006

Bacalah Al-Quran

Potensi keagungan peribadi seorang Muslim terkait dengan kesetiaannya pada al-Quran, pada hidupnya bersama al-Quran; yakni dengan cara membaca, merenungkan, mengamalkan dan menghafalkannya. Sebab al-Quran itu membawa berkah. Allah SWT berfirman,

“Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (QS Shad 38 :29)

Orang yang mengamalkan al-Quran akan diberkahi, orang yang mengajarkan al-Quran akan diberkahi, orang yang menjadikannya bacaan untuk kesembuhan akan diberkahi, dan orang yang mencari kesembuhan jiwa dan badan dari al-Quran juga akan diberkahi.

Allah SWT berfirman,
“Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran ataukah hati mereka terkunci?” (QS Muhammad 47:24)

”Kalau saja al-Quran itu bukan datang dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (QS an-Nisa 3: 82)

”Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu yang lain.” (QS al-Isra 17:88)

Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan untuk mengarahkan umat ini! Allah SWT menurunkannya untuk menjadi sumber hukum bagi umat ini. Allah SWT menurunkan al-Quran agar umat ini berjalan di atasnya dalam berakidah, beribadah, berakhlak, bermuamalat dan berperilaku.

”Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.” (QS al-Isra’ 17:9)

Barang siapa mencari kecukupan hidup, al-Quran akan mencukupinya. Barang siapa yang mencari kesembuhan darinya, al-Quran akan memberinya kesembuhan. Dan barang siapa meminta perlindungan dari yang menurunkan al-Quran, nescaya Dia akan memberikan perlindungan.

Sebaliknya, barangsiapa mencari petunjuk selain dari al-Quran, maka Allah SWT akan membuatnya tersesat, menjadikannya buta dan terhina, serta menjatuhkan hukuman. Oleh sebab itu, al-Quran merupakan mata air kehidupan al-Musthafa Rasulullah s.a.w.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Nama-nama al-Quran

Allah SWT menamakannya ’adz-Dzikir’ yang bererti kemuliaan, ketinggian derajat dan kejayaan. Allah SWT berfirman, ”Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan dimintai pertanggungjawaban. (QS az-Zukhruf 43:44)

Makna ayat tersebut adalah bahawa al-Quran itu telah mendatangkan kemuliaan, kejayaan dan ketinggian derajat bagimu dan bagi umatmu. Siapakah orang Arab itu jika tanpa al-Quran? Akan adakah sejarah bangsa Arab jika tanpa al-Quran? Akan datangkah kejayaan bangsa Arab tanpa al-Quran? Allah SWT berfirman, ”Demi al-Quran yang memiliki kemuliaan.” (QS Shad 38:1)

Allah SWT menamakannya ”Nur”. ”Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al-kitab (al-Quran), dan tidak pula mengetahui apakah iman itu. Tetapi Kami menjadikan al-Quran itu cahaya yang Kami tunjuki dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami.” (QS asy-Syura 42:52)

Allah menamakannya ”Ruh”. ”Kami wahyukan kepadamu ”Ruh” dengan perintah Kami.” (QS asy-Syura 42:52). Jika ruh mati, maka mati pula jasad dan tidak akan mendapat petunjuk.

Allah memberi sifat pada al-Quran sebagai ”Pemberi petunjuk ke jalan yang paling lurus”.

Sebagai ”Pembawa kesembuhan bagi penyakit yang ada dalam dada”.

Al-Quran sebagai ”Pembawa Berkah”.

Bahawa ayat-ayat al-Quran itu telah dijelaskan dan diperinci oleh Yang Maha Bijaksana lagi Maha Memberitahu.

Al-Quran adalah ”ash-Shirat al-Mustaqim (jalan yang lurus).

Al-Quran adalah “Tali Allah yang kukuh”. Dan sebutan-sebutan lain yang tidak memungkinkan untuk dikemukakan semuanya dalam kesempatan ini.

(sumber: Haratz)

Friday, June 23, 2006

Qada' Tido?


Satu diantara perkara yang sering di tanya kepada saya oleh masyarakat dari masa kesemasa ialah mengapa badan mereka sering menjadi letih walaupun mereka merasakan tidur mereka mencukupi. Ini satu soalan yang menarik dan kita sebenarnya perlu memilikki maklumat yang betul agar kesihatan dan akhirnya cara hidup kita menjadi suatu yang paling baik untuk diri kita.

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang bangun awal setiap hari untuk pergi bekerja. Tetapi pada hujung minggu ataupun pada hari cuti kita tidur berlebihan daripada biasa. Segelintir daripada kita akan tidur hingga ke tengahari dengan alasan untuk memperolehi kerehatan sepenuhnya yang tidak di perolehi pada hari-hari bekerja. Sebenarnya tindakan ini adalah satu tindakan yang salah.

Mengikut Timothy Rogers, Pengarah Pusat Kajian Masalah Tidur dari Hospital Henry Ford di Detroit, beliau berkata cara tidur sedemikian rupa mengganggu pusingan Biologi ataupun Biological Clock. Pusingan biologi dalam badan kita ini sebenarnya mempengaruhi kesihatan dan kerehatan kita. Lantas andaikata cara tidur kita seperti yang saya sebutkan tadi iaitu pada hari-hari bekerja kita bangun awal secara rutin tetapi di hujung minggu atau cuti umum kita tidak lagi mengikut jadual itu, kita bangun tidur lewat sebagai contohnya. Maka cara tidur begitu merosakkan jam biologi yang terdapat dalam badan kita. Natijah atau hasilnya ialah badan kita menjadi letih walaupun tidur kita mencukupi.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam diri kita. Yang berlaku ialah jika kita bangun tidur tidak mengikut rutin biasa, pengeluaran hormon yang bernama Cortisol terganggu. Hormon cortisol ini ialah hormon kecergasan. Bila kita bangun dari tidur kemudian bergerak dan kita aktifkan diri kita, kita sebenarnya di pengaruhi oleh hormon cortisol. Hormon ini di keluarkan oleh badan pada waktu-waktu tertentu sebagai contoh andaikata kita bangun tidur pada pukul 6 pagi, maka hormon ini akan dikeluarkan oleh badan lebih kurang pada pukul 3 pagi sebagai persiapan untuk kita bangun dan aktif.

Lantas badan kita akan terus mengeluarkan hormon kecergasan ini pada pukul 3 pagi andaikata di setiap pagi kita bangun tidur pada pukul 6 pagi. Jika rutin ini kita hormati insyaallah kita akan cergas dan tidak akan letih. Sebaliknya andaikata kita tidak bangun tidur pada pukul 6 pagi sedangkan hormon kita menjangkakan kita akan bangun tidur pukul 6 pagi dan ia telah keluarkan hormon pada pukul 3 pagi. Tiba-tiba kita tidak mengikut rutin itu. Pada suatu ketika kita bangun tidur pada pukul 10 pagi, akan berlaku gangguan pada badan kita. ketika itulah kita keletihan.

Sebenarnya latihan yang kita ambil daripada Ramadhan cukup indah dan cantik. kita bangun tidur pada waktu sahur. Ini sebenarnya latihan islam. Latihan yang sepatutnya kita sambung di luar musim Ramadhan. Selama lebih kurang sebulan kita bangun tidur di waktu sahur, katakanlah lebih kurang pukul 5 pagi. Waktu sahur ini satu waktu yang barakah. Waktu yang di penuhi rahmat. Sebab dalam Al-Quran, lebih khusus dalam Surah Al-Imran. Allah swt memuji satu golongan manusia. Allah berkata bahawa golongan manusia seperti ini dikasihi Aku, kata Allah. Satu diantara ciri yang ada pada mereka ialah Wal mus taqfirin nabil azhar, Mereka bangun tidur diwaktu sahur.

Kalimat Al-Quran, Azhar ertinya waktu sahur. Mereka bangun tidur diwaktu sahur dan meminta ampun kepada Allah diwaktu itu. Lantas andaikata kita bangun tidur setiap hari pada waktu sahur lebih kurang pukul 5 atau 5.30 pagi dan ini berterusan setiap hari, tidak hanya di musim Ramadhan. Kita mengambil kesempatan bangun di waktu sahur untuk beristiqhfar kepada Allah, meminta ampun, berdoa, bermunajat dan mungkin juga kita bersolat tahajjud, bersolat hajat bermohon kepada Allah meminta segalah kebaikkan atau hasanah di dunia ataupun di akhirat. Masyaallah kita insan yang special disisi Allah dan di dunia sebab dengan cara demikian hormon cortisol kita akan di keluarkan oleh badan secara rutin tanpa terganggu dan natijah daripada itu jadilah kita insan yang cergas, sihat, tidak hanya sihat fizikal juga sihat spiritual.

Sayangnya latihan Ramadhan yang telah kita hayati sebelum ini kita rosakkan di musim Syawal. Ramai yang tidak lagi bangun tidur awal di waktu sahur bila kita masukki Syawal. Ada setengahnya subuh pun tidak sembahyang, tetapi di musim Ramadhan dia alhamdulillah melaksanakan solat subuh sebab dia bangun awal. Di sebelah malamnya dia bersolat Tarawih. Masuk Syawal memang tidak ada tarawih, namun kita wajib melaksanakan solat yang lima. Solat yang lima itupun tidak dia lakukannya. Solat subuh pun dia tidak melakukannya. Ketika itu dia mendapat 2 kerugian. Kerugian pertama ialah ruhnya tidak lagi bercahaya. Kedua dia tidak lagi menjadi insan yang sihat sebab waktu tidurnya sudah berubah. Ketika itu pengeluaran hormon kecergasannya terganggu. Dia rugi spiritual dan jasadiah.

Justeru, marilah kita hayati ajaran islam yang telah kita laksanakan sebelum ini. Jangan jadi golongan yang sekejap buat baik, sekejap buat jahat. Sekejap bangun awal di waktu sahur sekejap melupakan sahur. Sekejap melaksanakan solat secara berlebihan pada suatu ketika yang lain langsung tidak bersolat. Itulah formula kepada kerugian dan kehancuran. Semoga insyaallah kita menjadi insan yang berdisiplin dan kita juga insyaallah menjadi insan yang mengambil iktibar daripada ibadah yang di tuntut oleh agama islam kita yang suci lagi murni insyaallah.

Wednesday, June 21, 2006

SOLAT ISTIKHARAH

SEBUT sahaja solat sunat Istikharah, pasti yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh terbaik. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini.

Pensyarah di Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Zahazan Mohamed menjelaskan istikharah yang membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’ merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.

Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

“Rasulullah s.a.w. telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

“Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan solat ini mencakupi urusan-urusan besar atau kecil. Banyak masalah yang kita sangkakan kecil akhirnya berkembang menjadi masalah yang lebih besar,” kata Zahazan yang juga giat menulis buku dengan penerbitan Telaga Biru.

Secara umumnya, kata Zahazan, pensyariatan ibadat ini adalah untuk menunjukkan kepada umat Islam kaedah memohon pertolongan Allah agar diberi taufik dan hidayah dalam membuat keputusan. Seperti mana banyak dijelaskan, ibadah ini diajar oleh Nabi sebagai jalan keluar daripada pergantungan kepada syaitan dalam amalan penujuman dan perbomohan yang menyebabkan penipuan dan penganiayaan terhadap hak sesama manusia.

Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Sebaliknya, Allah menjelaskan dalam al-Quran, ... kalaulah aku (Nabi Muhammad) mengetahui hal yang ghaib (akan berlaku), tentu aku akan berbuat kebaikan dengan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan.” (al-A’raf: 188)

Ayat ini menerangkan tentang peringatan Allah kepada kita bahawa Nabi s.a.w. yang menerima wahyu daripada-Nya juga tidak mengetahui apakah yang akan berlaku, inikan pula kita. Lantaran itu, memohon kepada Allah agar beroleh reda-Nya merupakan petanda ketakwaan dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Ini merupakan manifestasi keimanan yang mutlak kepada-Nya. Hal ini disebutkan dalam hadis pada bab Muraqabatullah dalam Kitab Riyadhus Solihin, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Apabila kamu meminta pertolongan mintalah kepada Allah. (Riwayat Tirmizi)

Terdapat juga sebuah athar yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat dengan orang lain.”

Menurutnya lagi, dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)
Malah, menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.

Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat untuk sesuatu hal, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Selain itu, kata Zahazan, tiada satu keterangan daripada hadis yang menjelaskan bahawa seseorang itu akan diilhamkan dengan perasaan senang hati atau sebagainya.

“Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah.

“Hadis di atas bermaksud urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya,” katanya.

Nasihat Zahazan, jadikanlah solat sunat ini sebagai satu ibadah yang dilakukan ikhlas kerana-Nya. Ambillah kesempatan untuk bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang soleh kerana Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat ke 159 bermaksud:

dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Batas waktu

Solat Istikharah adalah solat yang dilakukan di luar solat wajib tanpa dibataskan waktu-waktu yang tertentu. Jadi ia boleh diamalkan pada bila-bila masa. Al-Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Azkar, solat ini boleh dikerjakan dengan dua rakaat sunat rawatib, tahiyatul masjid dan solat-solat sunat yang lain. Walau bagaimanapun melihat kepada susunan oleh al-Bukhari, beliau cenderung ke arah menggalakkan ibadat ini dikerjakan pada waktu malam, kerana lazimnya istikharah dilakukan sebagai usaha mendapat pimpinan Allah.

Justeru, waktu malam merupakan pilihan yang tepat memandangkan kepada sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari bermaksud: Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata: Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk-Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk-Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk-Ku ampunkan?

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita bahawa solat ini dikerjakan secara bersendirian di luar waktu solat fardu. Walaupun tiada keterangan yang khusus menunjukkan kepentingannya untuk dilakukan bersama dengan solat hajat dan tahajjud, tetapi lazimnya waktu bertahajjud merupakan waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah.

Doa

Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang tepat dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mendapat penyelesaian ) dengan kekuasaan-Mu, aku memohon daripada anugerah-Mu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau maha berkuasa, sedangkan aku tidak, Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau maha mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... (disebutkan hajatnya ) baik untukku dalam urusan agamaku, hidupku dan kesudahanku, maka mudahkanlah bagiku dalam urusan itu, kemudian kurniakanlah berkat kepadaku. Akan tetapi bila Engkau mengetahui bahawa persoalan itu lebih bahaya kepadaku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahanku, maka elakkanlah aku daripadanya, kemudian takdirkan bagiku segala perkara yang baik di mana saja dan jadikanlah aku orang yang reda dengan ketetapan tersebut.

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menganjurkan agar seseorang yang mempunyai hajat itu menyebutkan hajatnya di pertengahan doa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t..

Bacaan surah

Sebenarnya tiada suatu dalil pun yang menetapkan bacaan surah tertentu mengiringi al-Fatihah. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Azkar mencadangkan agar membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama selepas al-Fatihah dan al-Ikhlas pada rakaat kedua selepas al-Fatihah. Kenyataan ini disokong oleh al-Iraqi dalam Syarah al-Azkar oleh Ibn Allan, Wallahu A'lam.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Wednesday, June 14, 2006

saman!!!



boleh check saman anda di sini...

http://www.rilek.com.my/pdrm/catcha/catcha_templates.jsp?login_name=catcha_user&loc=en_US

PELAKON ALI SETAN DI PARIT BUNTAR



PELAKON ALI SETAN DI PARIT BUNTAR

Titi Serong ? Siapa pun tidak menyangka Azmil Mustapha pelakon terkenal suatu ketika dahulu kini boleh berada di atas pentas PAS. Hakikatnya Azmil Mustapha sudah berubah dari seorang pelakon kepada seorang pendakwah dan aktivis Islam. Penampilan beliau cukup berbeza dari dahulu, dengan berjubah putih beliau tidak lagi bercakap berkaitan lakonan sebaliknya sepanjang ucapan beliau adalah nasihat dan ingatan kepada umat Islam supaya berpegang kepada aqidah dan cara hidup Islam.

Beliau bersyukur kerana mendapat hidayah dari Allah dan berharap umat Islam juga bersyukur kerana masih berpegang kepada Islam. Ucapan beliau ada ketikanya keras terutama apabila menyentuh berkenaan cubaan pihak-pihak yang menghina Islam dan beliau cukup kesal apabila umat Islam tidak lagi sensitif terhadap perbuatan memakan riba, berzina dan minum arak. Pendengar ceramah beliau seperti tidak percaya bahawa penceramah pada malam itu adalah Azmil Mustapha pelakon Ali Setan.

*************************************************************************************

nefertari: siapa sangka bukan? jauh dari tekaan rata-rata masayarakat umum yang kadang-kala menidakkan golongan sedemikian untuk menerima hidayahNya. terbukti bahawa hidayah hanya milik Allah jua. Dia memberinya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

bagaimana dengan kita? adakah sekedar bergelar pejuang Islam sudah rasa cukup dengan rahmatNya?

salam manis..

Tuesday, June 13, 2006

Anak perempuan penentu masuk syurga, neraka





Anak perempuan penentu masuk syurga, neraka

DARIPADA Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu dia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi)

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak perempuan. Mereka adalah aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah dalam perkara yang berhubung dengan kaum wanita."

Hadis itu bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak perempuan dan isteri mereka supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah.

Ramai ibu bapa yang menjaga anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan saja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan sepatutnya.

Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan pelbagai keburukan mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak yang diajar dengan didikan agama memberi faedah kepada ibu bapanya ketika hidup dan selepas mati.

Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam

Fenomena FUTUR

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Haniff Hassan. Ia dirujuk dari buku Afat `Ala Tariq oleh Dr. Sayyid Muhammad Nuh dan terjemahannya bertajuk Terapi Mental Aktivis Harakah, terbitan Pustaka Mantiq, Indonesia, 1995.


Erti Futur
Futur adalah perkataan dari bahasa Arab asalnya ia bermakna terputus, berhenti, malas dan lambat, setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Dalam konteks amal dakwah, ia adalah satu penyakit yang menimpa aktivis dakwah dalam bentuk rasa malas, menunda-nunda, berlambat-lambat dan yang paling buruk ialah berhenti dari melakukan amal dakwah. Sedangkan sebelumnya ia adalah seorang yang aktif dan beriltizam.

Fenomena ini adalah satu perkara yang biasa berlaku dan dihadapi oleh ramai mereka yang bertangungjawab dalam mentarbiyah para aktivis dakwah. Hakikat ini adalah kerana futur merupakan sifat semula jadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits yang bermaksud;

"Sesungguhnya bagi setiap amalan adalah masa-masa rajin dan tiap-tiap masa rajin ada futur. Namun barangsiapa yang futurnya menjurus kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperoleh petunjuk. Barangsiapa pula yang futurnya menjurus kepada selain sunnahku, maka ia telah tersesat.¿E(Riwayat Al-Bazzar)

Bahaya Futur
Walau pun futur adalah sesuutu yang lumrah berlaku dalam diri manusia tetapi ia mestilah diurus, sebagaimana yang diajarkan oleh hadits di atas dengan memalingkan perasaan itu kepada sesuatu yang sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan mengkibatkan kesan buruk. Antara kesan buruk itu ialah;

1. Pengabaian kepada amanah.
Futur menyebabkan seorang aktivis dakwah bermalas dalam menunaikan tugas dakwahnya. Ini kadangkala sehingga menyebabkan tugas berkenaan lewat disempurnakan atau terbengkalai sehingga mengganggu keseluruhan projek yang hendak dilaksanakan. Apa jua pengabaian kepada kewajiban adalah pelanggaran amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.

2. Gugur dari jalan dakwah.
Sekiranya futur tidak ditangani atau dibiarkan tanpa dirawat, ia akan menjadi satu tabiat. Lama-lama, perasaan ini menjadi sebati dan aktivis berkenaan menjadi semakin jauh dari amal dakwah. Akhirnya, ia terus tidak lagi terbabit dalam amal dakwah. Apabila seorang itu gugur dari jalan dakwah, maka ia telah hilang banyak kebaikan dari usaha dakwah. Lebih buruk lagi, ia telah mengabaikan kewajiban dakwah yang ditaklifkan ke atasnya sebagai seorang Muslim.

3. Mengakhiri kehidupan dalam keadaan yang futur.
Apabila seseorang itu berlama-lama dalam keadaan futur sehingga menjadi kebiasaannya, maka ia menanggung risiko besar untuk mati dalam keadaan sedemikian kerana dia tidak tahu akan masa kematiannya. Adalah ditakuti, jika Allah taala mengambil nyawanya sedangkan dia dalam keadaan futur, sedangkan Allah taala menghisab amal manusia berdasarkan akhir hayatnya. Maka sebab itulah, Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepadaMu dari penyakit lemah dan malas...¿E(Riwayat Abu Daud)

Di dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

"Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga, dan ada pula yang mengamalkan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Sesungguhnya amal itu tergantung pada kesudahannya.¿E(Riwayat Al-Bukhari)

Kenapa Futur Berlaku?
Sebahagian dari langkah untuk menangani futur ialah memahami sebab ia berlaku. Dengan itu, kita dapat berusaha mencegah, menjangkakan atau mendiagnosnya, setelah itu merawatnya dengan preskripsi yang betul. Futur berlaku disebabkan oleh faktor-faktor berikut;

1. Melakukan amalan agama secara berlebihan, melampau atau memaksa diri.
Ramai aktivis dakwah begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga tidak memerhatikan aturan alam, anjuran Islam dan keupayaan diri. Akhirnya apabila naluri semulajadi futur muncul, ia menjadi lemah, jenuh dan bosan sebagaimana yang dinyatakan oleh hadits di atas. Maka sebab itulah Rasulullah s.a.w menganjurkan dalam sabdanya yang bermaksud;

"Jangan kamu memberat-beratkan diri. Nanti akan diberatkan ke atasmu.¿E(Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, pembimbing tarbiyah mestilah mendidik aktivis dakwah untuk mengikuti anjuran Rasulullah s.a.w dalam hadits yang bermaksud;

"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingg akamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yanag dilakukan secara rutin walau pun sedikit.¿E(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

2. Suka berlebih-lebih dalam perkara yang mubah.
Satu contoh ialah berlebihan dalam pemakanan. Walau pun makan adalah satu keharusan tetapi apabila seseorang itu berlebihan dalamnya, ia akan memberi kesan kepada tubuh dan rohaninya. Badannya menjadi gemuk dan berat untuk aktif yang menatijahkan rasa malas.

Contoh lain ialah tabiat melunsur internet atau berchat. Apabila seseorang berlebihan dalamnya, ia akan merasa ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk melunsur dan berchat. Akibatnya masa untuk dakwah menjadi kurang dan ia sering merasa konflik antara menggunakan masa untuk amal dakwah dengan tabiat melunsur dan berchat.

Untuk menjauhi futur, perlulah aktivis dakwah ditarbiyah agar berpada dalam perkara yang mubah.

3. Suka bersendiri dan berjauhan dari berjamaah.
Apabila seorang aktivis suka bersendiri, maka dia telah hilang satu benteng pertahanan dari syaitan kerana Rasulullah s.a.w bersabda bahawa syaitan itu lebih dekat kepada seorang dari kepada dua orang dan lebih dekat kepada dua orang dari kepada tiga orang. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya. Pastinya syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal dakwah.

Oleh itu, aktivis dakwah mestilah dididik untuk melazimi teman-teman aktivis seorganisasi bagi mengelakkan futur. Pembimbing tarbiyah pula mestilah berusaha untuk sentiasa membina kemesraan aktivis dakwah dengan organisasinya dan memastikan kemesraan yang berterusan sesama aktivis.

4. Kurang mengingati mati dan Akhirat.
Antara faktor pendorong kuat dalam amal dakwah ialah hasrat mendapat pahala, rasa rindu dengan syurga, takut akan dosa dan siksa neraka. Kesemua ini berkaitan dengan mengingati akhirat. Oleh itu, apabila mengingati akhirat berkurangan, ia akan diganti dengan ingatan kepada benda-benda lain. Natijahnya faktor pendorong menjadi lemah dan futur menguasai diri.

Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk ditarbiyah agar mempunyai rutin ibadah tertentu yang akan terus mengingatkannya akan akhirat, bukan hanya bercakap mengenai fikrah atau menumpu pada kemahiran semata-mata.

5. Lengah dengan syubhat dan dosa.
Manusia akan pasti melakukan silap dan dosa tetapi ia tidak boleh mempunyai sikap toleransi dengan dosa atau bertoleransi setelah melakukannya kerana dosa akan membina titik hitam. Jika titik itu tidak dibiarkan ia akan melemahkan semangat dan mengakibatkan futur.

6. Membataskan aktiviti pada aspek tertentu sahaja.
Antara punca rasa jemu ialah tiada kepelbagaian. Oleh itu, pembimbing tarbiyah hendaklah membimbing para aktivis dakwah untuk mempelbagaikan segala tidakannya. Ia mesti mempelbagaikan ibadah mereka agar apabila mereka jemu pada satu ibadah, mereka masih melazimi satu ibadah yang lain. Ia mesti mempelbagaikan corak amal dakwah mereka agar mereka tidak mudah jemu dan bosan. Dengan itu, kemungkinan futur menjadi rendah.

7. Melupakan sunnah alam.
Futur berlaku juga apabila seseorang itu dalam melakukan amal dakwahnya tanpa mengikut aturan alam seperti mahu satu perubahan yang segera dan cepat, tidak realistik dengan harapannya, sehingga apabila usahanya selalu gagal, ia menjadi putus asa. Termasuk dalam memelihara sunnah alam ialah menunaikan hak badan, keluarga dan hak-hak lain. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

"Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, dirimu mempunyai hak atasmu, keluargamu jug amempunyai hak atasmu. Oleh itu, berikan setiap yang punya hak, akan haknya.¿E(Riwayat Al-Bukhari)

Selain pembimbing tarbiyah sentiasa memerhatikan aspek ini dalam diri para aktivis, dia hendaklah memastikan agar tidak menjadi punca para aktivis mengabaikan hak-hak yang lain dengan memberi tugas-tugas atau tuntutan yang berlebihan.

8. Tidak ada persiapan menghadapi cabaran di jalan dakwah.
Jalan dakwah sentiasa dipenuhi oleh ujian. Seseorang yang tidak bersedia atau mempunyai persiapan akan pasti ditewaskan oleh ujian ini. Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk melalui program tarbiyah yang sistematik sebagai salah satu mekanisme persiapan di jalan dakwah. Pembimbing tarbiyah tidak boleh hanya seronok melihat kesibukan aktivis dakwah dengan pelbagai projek sehingga tidak ada masa untuk tarbiyah.

9. Lebih banyak bercampur dengan teman-teman.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud;

"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."(Riwayat Abu Daud)

Maka sebab itu penting bagi pembimbing tarbiyah untuk membina kemesraan dengan para aktivis dan kemesraan sesama mereka. Dengan kemesraan itu, mereka saling mengasihi dan menjadi teman yang terbaik antara satu sama lain. Dengan itu juga, mereka tidak condong kepada golongan-golongan lain untuk dijadikan teman. Ini adalah cara yang lebih baik dari cuba control atau halang seseorang aktivis dari berkawan dengan yang lain.

10. Bekerja untuk dakwah tanpa bersistem.
Apabila seseorang bekerja tanpa ikut sistem dan perancangan yang baik, ia akan memenatkan diri sendiri dan kurang mendapat hasil yang baik. Ini pastinya akan menjejas semangat dan komitmennya. Menjadi tanggungjawab pembimbing tarbiyah untuk menyepadukan pembinaan kemahiran yang betul sebagai sebahagian dari program tarbiyah bag imengelakkan faktor ini. Di samping itu, pembimbing tarbiyah sendiri mestilah menjadi contoh yang baik.

Merawat Futur
Setelah memahami punca-punca futur, maka merawatnya boleh dilakukan melalui perkara-perkara berikut;

1. Jauhi maksiat yang kecil, apatah lagi yang besar.

2. Mewujudkan rutin amalan dan ibadah, waktu siang dan malam.

3. Jauhilah segala sikap berlebihan, samada dalam menikmatai yang mubah atau dalam beribadah.

4. Membina kemesraan dengan organisasi dan rakan-rakan aktivis.

5. Mendidik aktivis untuk memahami aturan alam dan meraikannya dalam amal dakwah.

6. Menyemai budaya hidup yang teratur, sistematik dan terancang.

7. Berikan tempoh rehat (break) bagai para aktivis, sebelum timbul rasa lemah.

8. Benarkan sedikit perkara mubah bagi aktivis seperti bergurau, berehat, beriadah dll.

9. Berikan kisah-kisah para sahabat dan orang-orang soleh dan perjuangan mereka untuk diambil iktibar dan memperbaharui semangat.

10. Memberi peingatan yang menimbulkan ingatan terhadap mati dan akhirat.

11. Menggalakkan aktivis untuk melazimi majlis ilmu di luar program tarbiyah yang biasa kerana ia akan membantu proses pembinaan kefahaman yang betul dan menambah keberkatan.

(copy dari Shukur.org. Kiriman oleh Ibnu_ali dalam 'diskusi apa-apa sahaja')

Monday, June 12, 2006

Happy Birthday!!!!



assalamualaikum wbt. hhmm..dah lama tak masuk sini. maaf lah, sangat sibuk. alhamdulillah, semalam genap umurku 24 tahun. wah, makin tua, makin menghampiri mati. huhu..bertimbun peti mesejku dengan ucapan2 hari jadi drp sahabat2 yang sudi mengingati dan menyayangi diri ini. terima kasih sahabat2 ku..salah satu mesej tu ingin sekali ku paparkan di sini untuk renunganku dan juga umum.

wahai wanita-wanita Islam..
seorang MUSLIMAH itu dipandang dari AKHLAKNYA
seorang MUKMINAH itu dinilai dari IMANNYA
seorang SRIKANDI itu diukur dari PERJUANGANNYA
seorang IBU itu dirindui dari PENGORBANANNYA
seorang GADIS itu dihargai dari sifat MALUNYA
seorang WANITA itu dihormati dari KETINGGIAN MARUAHNYA

oleh itu.....



Duhai muslimah sejati...
bersihkanlah hatimu..
kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan
Jannah bukan mimpi tetapi realiti..
Dunia hanyalah persinggahan...
Akhirat itu kekal abadi....

salam sayang..