Monday, July 24, 2006

DUNIA BARU

assalamualaikum. aku bukan nak berceloteh tentang drama DUNIA BARU kat TV3 yang bagi aku entah apa-apa tu. Tapi aku nak cakap pasal dunia baru aku. Aku sekarang sudah tidak bekerja lagi. Aku sudah sambung pengajianku dalam peringkat sarjana di salah sebuah IPTA di lembah kelang.
belajar sepenuh masa, menjadi anak sepenuh masa, berjuang di jalan dakwah sepenuh masa, betul2 membuatkan aku sempit masa. hampir-hampir juga menangis apabila salah satunya tidak dapat aku sempurnakan dengan baik.
tetapi, lantas aku malu sendiri, malu yang amat sangat, apabila membaca coretan Ust Hasrizal yang jauh lebih sempit masanya daripada aku. Semoga ianya menjadi pengajaran untuk aku sendiri. Ya Allah, ampuni hambaMu yang mudah lemah. Wallahualam.
Petikan artikel Ustaz Hasrizal:

Walaupun begitu, minat serta semangat saya untuk belajar turut berdepan dengan cabaran yang besar. Cabaran yang saya maksudkan itu adalah cabaran MASA. Bekerja sepenuh masa dan belajar sepenuh masa, di samping menjadi ayah sepenuh masa, serta suami sepenuh masa, sudah cukup besar. Ditambah lagi dengan tanggungjawab dakwah, tarbiyah dan pelbagai badan yang saya sertai, semuanya menuntut komitmen yang sukar ditolak ansurkan. Dan malam ini saya mengalami kebuntuan.

Setiap pagi, saya mesti keluar dari rumah seawal 6:30 pagi. Saya berjalan kaki meredah kegelapan subuh di celah-celah lorong Taman Midah untuk ke jalan besar dan ia memakan masa sekitar 20 minit. Kadang-kadang awal sedikit apabila dikejar atau disergah anjing. Kemudian saya akan mengambil bas dari Taman Midah ke Stesyen LRT Taman Maluri. Dari situ, saya akan menaiki LRT ke Masjid Jamek dan kemudian bertukar tren untuk ke Terminal Putra. Saya mesti sampai di Stesyen Terminal Putra sebelum pukul 8 pagi, kerana bas Rapid KL 231 akan bertolak ke kampus UIA tepat jam 8. Jika terlepas, saya terpaksa mengambil teksi.

Bunyinya payah, bagi yang biasa berkereta. Tetapi selepas 11 tahun hidup di perantauan, terutamanya 6 tahun di UK dan Ireland, soal menaiki kenderaan awam ini sudah menjadi kebiasaan. Isteri saya memerlukan kereta ATOS kami untuk menghantar dan mengambil anak di nurseri. Dan saya seperti biasa, meneruskan rutin menaiki tren yang sudah menjadi sebahagian hidup saya semenjak 1998 lagi. Faedah menaiki LRT ini ada beberapa. Antaranya:
1. Saya dapat membuat bajet masa yang hampir tepat iaitu 1 jam 30 minit dari pintu rumah ke pintu kelas.
2. Saya dapat menjimatkan duit minyak dan maintainance kereta serta tol (MRR2 tiada tol - mungkin sebab itu ia retak)
3. Saya dapat membaca di sepanjang perjalanan. Berita terkini akan saya update di dalam PDA Palm Tungsten T5 saya dengan menggunakan aplikasi AVANTGO. Manakala artikel-artikel yang saya perlu baca sebagai bahan pembelajaran, saya convert kepada ISILO

Tiga faedah di atas amat saya hargai terutamanya peluang membaca. Saya berasa terkilan jika ada pelajar undergraduate yang bujang, duduk di Mahallah dan apatah lagi jika tidak aktif dengan aktiviti persatuan, membuat pengakuan tidak membaca, dengan begitu selamba tanpa ada rasa bersalah. Sedangkan saya terpaksa mencuri masa di dalam LRT, atau bangun awal pagi, dan biasanya memilih untuk tidur lewat semata-mata untuk membaca.

Dalam masa yang sama, saya dijemput untuk berceramah di pelbagai institusi dengan peserta yang berbeza, serta tajuk yang berlainan. Setiap ceramah itu memerlukan saya kepada membuat slide PowerPoint© dan ini menjadi sebahagian besar daripada kerja yang mencuri masa tidur saya.

Sudah tentu, cabaran di waktu malam yang paling menguji adalah tangisan dua anak kecil yang merengek meminta susu. Kalau adik Naurah, selalunya dia akan menangis sekitar jam 2 pagi dan Saiful Islam pula akan menangis khusus untuk marahkan saya kerana pulang lewat malam. Ia sering berlaku apabila saya memberi kuliah Maghrib, yang menyebabkan saya sampai di rumah selewat jam 10:30 malam malah mencecah tengah malam. Saiful Islam marah kerana saya pulang selepas dia tidur dan keluar sebelum dia terjaga. Maka komunikasi antara saya dengannya hanya berlaku apabila dia terjaga di tengah malam. Marah 5 minit, berbual 2 minit, sebelum menyambung tidur semula.

Paling menyedihkan, isteri yang sering ditinggalkan. Dalam keadaan berbadan dua, ditambah pula dengan bebanan pengajian Masternya di bidang Perubatan Kecemasan, dia banyak berkorban, hingga saya rasa tidak layak mengeluh. Syukurlah perkahwinan kami dibina di atas expectation yang realistik sejak hari cincin disarung ke jari. Moga dirinya terus sabar khususnya 4 tahun mendatang di mana kami berdua saling terbeban oleh pengajian masing-masing, di samping kerja sepenuh masa yang sudah sedia mencabar.

Hari ini saya sangat mengantuk dan sukar untuk menumpukan perhatian kepada kelas Rise and Fall of Civilization. Selasa dan Khamis adalah hari yang paling mencabar kerana saya perlu menghadiri tiga kelas yang bersambung-sambung dari jam 8:30 pagi hingga 1:20 tengah hari. Selepas solat Zohor saya bergegas pulang ke rumah kerana ada tugasan keluarga yang perlu diselesaikan. Akan tetapi, saya tidak dapat berdiri dan terpaksa mencari bangku untuk duduk di dalam LRT. Selepas melabuhkan diri, saya terus terlelap dan sedar-sedar saya sudah terlepas lebih 4 stesyen. Saya berpatah balik dari Stesyen Taman Paramount untuk ke Masjid Jamek, dan saya tahu, mengantuk saya sudah tidak dapat dikawal.

Selepas Asar, saya biarkan sahaja anak-anak memanjat diri saya seketika, sebelum terlelap. Isteri saya mengejutkan saya untuk bersiap kerana selepas Maghrib, saya perlu memberi Kuliah di Kolej Tun Dr Ismail, di Hospital UKM.

Malam ini saya perlu menyiapkan dua slide untuk ceramah saya di Wad Kecemasan jam 8 pagi esok, serta ceramah untuk ibu bapa pelajar sekolah di Sentul Sabtu ini. Mata berpinar-pinar dan saya tahu saya tidak boleh berangan untuk mencari masa tidur kerana esok, saya akan berceramah, dan kemudian ke pejabat di Damansara Damai dan menghadiri dua mesyuarat dari jam 3 petang hingga 11 malam. Sabtu pula ceramah di waktu siang dan Ahad program sepanjang hari di sebuah sekolah di Jenjarum. Isnin ke kelas semula.

Bila nak qadha' tidur ini?

Dulu saya pernah rasa tertekan kerana sentiasa mencari masa untuk menggantikan waktu tidur. Tetapi akhirnya saya tersedar bahawa waktu tidur saya tidak akan cukup. Dua anak meningkat dewasa, dan Insya Allah hujung tahun ini tiba cahaya mata ketiga, dan rutin bangun malam saya akan diteruskan lagi untuk dua tahun yang akan datang. Kerja-kerja pejabat dan pengajian tidak akan berkurang, di samping kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang serius.

Saya hanya berasa lega apabila mengubah mind setting bahawa janganlah dicari masa untuk mencukupkan tidur, sebaliknya tidurlah sebaik-baiknya pada masa-masa yang kita boleh tidur. Bersyukur dengan apa yang ada.

Kesimpulan saya sebelum melelapkan mata malam ini, jangan sekali-kali menjadikan SIBUK sebagai alasan kerana SIBUK itu adalah nama lain bagi sebuah kehidupan yang bermakna. Ya Allah, janganlah Kau matikan aku semasa aku duduk bergoyang kaki. Allahumma yassir wa laa tu'assir ya Kareem.
ALLAHU AKBAR!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home