Saturday, December 09, 2006

Masing-masing juga merasa

Salam.

Petang tadi aku menghadiri mesyuarat 'post mortem' program yang kusertai Ahad lepas. Seperti biasalah, kami selaku ahli komiti jawatankuasa program ini duduk semeja membahaskan segala kelemahan, kelebihan dan cadangan-cadangan yang boleh ditingkatkan lagi untuk pembaikan masa depan.

Sebelum menutup majlis, Pengarah aku yang bersemangat waja (mungkin lebih besar daripada kereta WAJA, walaupun diri dia kecil je, heh) mengumumkan pembubaran jawatankuasa, dan mulai saat itu, kami semua menjadi X-komiti.

Aku tak pasti bagaimana perasaan sahabat-sahabatku yang lain, tapi ada sekelumit perasaan sayu singgah di hati aku waktu tu. Entah kenapa, aku merasakan bahawa aku tidak mahu langsung berpisah dengan sahabat-sahabat semua, setelah lebih lima bulan kami bersama bertungkus-lumus bekerjasama bagi menjayakan program yang julung-julung kalinya kami anjurkan.

Sedangkan, kami sentiasa bersua muka setiap kali ada apa-apa program, seperti 'gathering', ataupun usrah atau pun program ziarah. Tapi untuk program besar kali ini, aku dapat merasakan ikatan kami lebih kuat dan kami bekerja dalam keadaan yang amat seronok, walaupun terpaksa berlawan-lawan dengan masa yang sangat sempit...dan..biasalah, kadang-kala bertekak juga...cuma..lebih kepada bertekak secara profesional..hehe.



Aku tak tahu kenapa, tetapi perasaan sayu masih bertandang walaupun sepatutnya perasaan lega yang seharusnya kurasa, kerana setelah pembubaran ini, bermakna aku boleh memfokuskan kerja dan amanah lajnahku yang lain.

Sebelum pulang, sempat juga aku bersama dua orang kakak yang baik, yang lebih ku anggap sebagai sahabat sebaya yang baik, lepak sekejap di kedai makan, macam zaman dulu-dulu sewaktu kami masih bersama bawah satu bumbung universiti. Kami meluangkan lebih kurang sejam, menikmati juadah petang sambil berbual-bual.

Perbualan kami tak lari daripada menceritakan pengalaman masing-masing setelah keluar dari kampus, bagaimana 'engagement' kami dengan kelompok masyarakat, apa halangan dan godaan yang datang dan sebagainya. Tidak terlepas juga topik berkenaan sahabat-sahabat kami yang seolah-olahnya dekat di mata, tetapi kenapa terasa seperti jauh di hati..Sesuatu harus kami lakukan, tapi..apa?

Memandangkan hari sudah lewat petang, mahu tidak mahu, kami harus juga berpisah. Walaupun aku rasa masih banyak lagi yang ingin dibualkan (biasalah...perempuan..hehe). Sekali lagi terasa berat di hati, seolah-olahnya aku tidak akan berjumpa lagi dengan mereka. Kenapa ye? Entah.

Tak lama setelah aku sampai di rumah, aku terima SMS dari kakak baikku yang baru sebentar tadi aku hantarkan di stesen komuter. Dia menyatakan betapa terasa manisnya saat-saat kami bertiga duduk semeja minum petang di kedai makan tu tadi. Iya, aku pun mengakuinya. Dia juga menyatakan rasa sedih dan tak semena-mena terasa rindu sangat pada sahabat-sahabat (padahal baru je jumpa, tak sampai sejam pun berpisah, heh) Hmm..ternyata aku tidak keseorangan dalam melayan 'blues' ini... ;)

Kami saling ber'SMS' untuk mengimbas kembali segala kenangan manis dulu-dulu, dan berazam untuk saling ingat-mengingati seandainya masing-masing mula kelihatan alpa dan leka. Tentunya kami tidak mahu futur dari medan ini...hingga ke akhir hayat..InsyaAllah.

Setelah pasti kakak tu dah sampai di rumahnya dengan selamat, aku terima pula SMS dari seorang lagi kakak yang turut sama menyertai minum petang tadi. Dia mengadu tentang perasaannya yang 'tak ok'. Nah...seorang lagi...(Risau pula aku, aku kah yang menyebarkan wabak sedu sedan ni..? huhuh)

Dia bertanyakan tentang kekuatannya...kerana dia merasakan bahawa dia amat lemah dan tidak mempunyai kekuatan. Hmm..( ramai pula layan blues hari ni ek...termasuklah aku..hehe). Aku berfikir sejenak. Kakak ni lah yang bertanggungjawab memperkenalkan aku pada jalan perjuangan ini. Tahun 2001, masih ku ingat saatnya dia datang menghampiriku untuk mengajak aku menyertai medan perjuangan ini...dan tanpa ragu-ragu aku menyambut salamnya...dan kini, kami masih bersama.

Aku terfikir, jika dia tidak mempunyai kekuatan, masakan dia mampu mengajakku untuk sama-sama berkecimpung dalam medan ini. Ya, tentunya kerana hidayah Allah yang hadir di hatinya yang suci agar dengannya menjadi penyebab untuk aku bersetuju.

Bagiku, dia mempunyai kelebihan tertentu yang mungkin tiada pada orang lain. Hatinya, ya, mungkin hatinya kuat untuk terus menongkah arus dan meletakkan dirinya tetap teguh di landasan ini.

Kak, jika kau baca coretanku ini, ingin sekali aku katakan bahawa dirimu sangat kuat. Kau mungkin tidak menyedarinya, tapi InsyaAllah, orang-orang sekelilingmu merasainya. Kekuatanmu mungkin tidak datang dari dirimu sahaja, tetapi boleh saja datang dari insan-insan yang kau sayangi..(aku termasuk tak?hehe).

Kak, kau mudah menyayangi dan menerima kasih sayang orang lain. Itulah kekuatanmu. Sikapmu yang suka mengambil berat hal orang lain menunjukkan dirimu mudah menerima dan bersedia menghadapi segala kemungkinan dari persekitaranmu. InsyaAllah hatimu kuat untuk mengatakan pada dirimu sendiri bahawa kau ingin terus berada dan bersama dalam arus perjuangan ini.


Jika ada yang tidak mahu menerima kasih sayangmu, biarkan sahaja, mungkin kerana dia masih belum menyedari kekuatanmu itu. InsyaAllah, jika dirimu ikhlas dan tidak terasa, orang itu lambat laun pasti menyedarinya juga...dan bila tiba saatnya, dia sendiri yang akan mencarimu, kak.

Satu lagi yang kulihat, semangat spiritualmu. Sekali lagi, berpunca daripada hati lah. Semangatmu kuat dan kau kulihat sebagai seorang yang tidak mudah terpengaruh, malahan boleh pula mempengaruhi orang lain. Sikap berdikarimu sedikit sebanyak membantu untuk kau bertindak tanpa takut-takut.

Selebihnya...wallahualam..hanya Allah yang Maha Mengetahuinya. Berikan masa kepada diri sendiri untuk meneroka dan mengenali potensi diri. Jangan dipaksa-paksa, kerana hakikatnya, ia perlu datang dari dalam, dan ini boleh sahaja mengambil masa yang lama, berdasarkan kepada pengalaman dan peningkatan ilmu yang ada. "Inside outside"...hehe..

Hmm, minta maaf ye kak, tulis kat sini pulak, tapi rasanya lebih berbaloi daripada jariku lenguh menekan-nekan butang telefonku untuk membalas SMS yang kadang-kadang tak berapa nak berfungsi tu, Almaklumla..telefon tua..hihi :P

Akhirul kalam, sama-samalah kita jaga ukhuwah ini agar bertepatan dengan prinsip bertemu dan berpisah hanya keranaNya..Sorotilah kembali catatanku (copy paste sebenarnya) di bawah ini yang juga menyentuh perihal persaudaraan dalam Islam.

wallahualam







0 Comments:

Post a Comment

<< Home