Monday, January 15, 2007

Penggunaan putik kapas boleh jejas pendengaran

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada mencukupi.

Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi bersama ialah berhubung penggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan telinga.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak, masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan ada setiap hari. Daripada mereka seawal usia baru lahir sehingga ke warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya masalah ini.

Satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar tersumbat dengan ‘tahi telinga’, atau lebih tepat lagi lilin telinga (ear wax) yang sudah termampat.

Menerusi soal selidik dijalankan, hampir semua daripada mereka mengakui menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan. Mereka, atau kita juga mungkin beranggapan putik kapas digunakan akan dapat membersihkan saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.

Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya menolak masuk lebih ke dalam lilin telinga dan hanya sedikit yang melekat padanya dan dikeluarkan. Sedangkan, saluran telinga kita sudah dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya menyebabkan sedikit demi sedikit, lilin telinga akan tertolak semakin ke dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu konduksi bunyi daripada punca rangsangan.

Keadaan ini disebut gangguan pendengaran jenis konduktif ( conductive hearing loss ).

Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ini ialah ada kemungkinan bahagian kapasnya itu tertanggal dan tertinggal di dalam saluran telinga. Ia juga akan mengganggu pendengaran dan jika terbiar lama akan mengundang jangkitan kuman pula. Jadi, berhati-hatilah menggunakan putik kapas terutama kanak-kanak.

Selaras dengan slogan ‘Mencegah lebih baik daripada merawat’, marilah sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat. Kita sudah dicipta dalam sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi tanggungjawab kitalah untuk menjaganya dengan selamat.

DR IRFAN MOHAMAD,
Jabatan ORL-HNS (ENT)
Hospital Universiti Sains Malaysia
Kota Bharu, Kelantan.

(sumber: BH 15 Jan 07)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home