Sunday, January 14, 2007

Penangan Sinetron Seberang

Beberapa hari yang lepas, saya menikmati makan tengah hari di sebuah kantin di kampus saya ni. Bersama saya ialah seorang teman dan seorang lagi Tutor. Tengah enak menikmati hidangan, kami di'hibur'kan pula dengan tayangan Sinetron ini. Tak payah saya sebutlah, sebab saya tau tentu semua orang mengenalinya.

Saya jadi 'kenyang' seketika apabila melihat gelagat manusia di depan saya waktu tu, tak kiralah sama ada pelajar, pensyarah, juruwang, pembuat minuman, penghidang makanan, hatta tukang potong rumput sekalipun. Sedang mereka leka dan asyik menonton sinetron ini, saya pula asyik dan leka memerhatikan mereka.

Di satu sudut, saya dapat memerhatikan beberapa orang pelajar yang menyuap apa sahaja makanan yang ada di depan matanya, tanpa melihat kepada apa yang disuap. Hinggakan dia hampir tercekik kerana tersuap semula tulang ayam yang telah dibuang sebelum itu!

Ada juga pelajar yang membawa buku, tetapi pandangannya tidak jatuh ke buku itu, dan dia hanya membiarkan bukunya terbuka tanpa ada sebarang pertukaran helaian muka surat. Statik sahaja.

Di ruang yang lain pula, saya melihat juruwang terlupa mengembalikan lebihan wang pengunjung yang membuat bayaran, dan ada juga pengunjung yang lupa mengambil wang baki.

Di tempat membeli minuman, saya dapat pula menyaksikan gelagat abang-abang pembuat air yang buat air hingga tumpah dan sanggup 'mengintai' di celah-celah balang air untuk melihat sesuatu.

Begitu juga pakcik makcik di dapur yang sekejap-sekejap terjengah-jengah keluar kepalanya dari ruang dapur juga kerana ingin melihat sesuatu.

Semuanya hanya kerana satu...iaitu kerana terlalu asyik dan tidak mahu ketinggalan dalam menonton sinetron ini yang ditayangkan di dua buah televisyen di tengah-tengah kantin!

Saya? Apa pula yang saya lihat? Saya lebih gemar melihat kelakuan manusia yang ada di depan mata, kerana ianya realistik dan spontan, bukan manusia di dalam sinetron ini kerana ianya hanya lakonan. Perkara realiti dan spontan tidak menipu, tetapi lakonan akan sentiasa mempunyai unsur-unsur penipuan...dan hakikatnya, penipuan itulah yang selalu menjadi pilihan manusia.

Maafkan saya andai ada yang terasa. Saya tidak mensasarkan kepada sesiapapun, tetapi sekadar luahan rasa secara umum.

=)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home